Sejarah Surau Al-Hakim

Tahun 2003 telah menyingkap satu lembaran baru bagi SMK Penghulu Saat, terbinanya sebuah rumah Allah yang telah diberi nama Surau Al-Hakim. Pembinaan surau ini adalah hasil keputusan mesyuarat PIBG bersama pihak pentadbiran sekolah yang bersetuju untuk menaik tarafkan surau sedia ada kepada surau yang lebih besar bagi menampung keperluan pelajar di sekolah ini. Dana hasil pungutan derma ibu bapa, guru, pelajar dan orang perseorangan selama beberapa tahun telah melancarkan lagi projek pembinaan surau ini menjadi kenyataan.

Tn. Hj. Nasir Bin Khusil selaku ketua projek bersama dengan ahli jawatankuasanya telah banyak memainkan peranan besar dalam menggerakkan sumber manusia dalam memastikan kejayaan projek ini. Pembinaan surau ini telah dijalankan secara gotong-royong dan telah menelan belanja sebanyak RM35 ribu dan memakan masa selama 6 bulan untuk menyiapkannya. Surau ini dapat menampung 600 -700 jemaah dalam satu-satu masa.

Alhamdulillah, kami warga SMK Penghulu Saat saat berbangga kerana surau kami merupakan antara surau sekolah yang paling besar di daerah Batu Pahat ini. Sehingga sekarang seiring dengan keperluan semasa surau kami telah menjalani pelbagai perubahan urbanisasi dengan terbinanya pelbagai prasarana yang menarik dan selesa untuk kemudahan kami mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti solat fardu berjemaah, program membudayakan Al-Quran, program hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah, Maulidurrasul,Program Ramadan Dekat Di Hati, program kurikulum dan kokurikulum yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah.