Bila yang dikejar itu dunia

Bila yang dikejar itu dunia, hati kita akan sentiasa tak tenang. Seolah-olah kita sedang berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang paling memuaskan, namun hakikatnya jiwa terasa semakin haus. Semakin banyak keperluan duniawi yang kita dapatkan, semakin banyak pula yang kita inginkan. Ibarat kita mengejar bayang-bayang, perjalanannya menjadi semakin panjang dan bayang-bayang menjadi semakin jauh kerana kita sedang berlari menjauhi cahaya saat kita mengejarnya. Bila yang dikejar itu dunia, kita akan sentiasa tidak berpuas hati. Sememangnya tak ada di dunia ini sesuatu kepuasan yang paling mutlak. Sekenyang manapun perut, lapar akan terasa kembali. Senyenyak manapun tidur, pasti kita akan terjaga.
Itulah kita. Walaupun kita menyedari hakikat ini, jiwa masih lagi tidak dapat terputus daripada orientasi keduniaan. Kita terjaga di pagi hari dengan niat yang satu, untuk mencukupkan keperluan duniawi. Akhirat tidak menjadi obsesi yang ingin dicari, yang diimpi-impi. Sedangkan perbandingan antara kedua-dua alam itu sangat jelas, yang satunya sementara dan yang satunya kekal selama-lamanya.
Apakah kita perlu tinggalkan dunia ini? Tidak, bahkan tak mungkin kita dapat pergi ke alam akhirat tanpa melalui dunia ini. Sebaliknya, janganlah ia dikejar-kejar sehingga kita berpaling daripada akhirat. Jadikanlah akhirat satu obsesi, dan dunia satu platform mengumpul bekal. Semakin kita berjalan ke arah cahaya, bayang-bayang akan semakin mendekat. Begitulah ibaratnya Dunia dan akhirat. Semakin kita ikhlas menyelusuri jalan menuju Allah, Allah pasti mencukupkan keperluan duniawi kita.
Tapi bagaimana? Apakah mungkin duduk-duduk sahaja beristighfar di masjid-masjid akan mendatangkan rezeki yang tak disangka-sangka? Apakah bersolat dan berjaga sepanjang malam akan menjadikan kita kaya tak semena-mena? Bukan begitu juga maksudnya. Bahkan kita perlu bekerja dengan lebih gigih dengan penuh kesedaran bahawa semuanya adalah untuk Allah. Maka apakah kita akan memberikan sisa-sisa sahaja untuk Allah? Tentunya tidak. Beramallah di dunia ini dengan penuh kesedaran bahawa dunia ini adalah medan mengumpul bekal, beramal untuk akhirat.
Adakah orang kaya itu mengejar dunia? Belum tentu. Boleh jadi orang miskin itu yang lebih berfikiran ‘duniawi’ kerana sentiasa tak puas dengan apa yang ada. Adakah si pangkat tinggi itu mengejar dunia? Belum tentu. Boleh jadi orang bawahan itu lebih berorientasikan dunia kerana sering mengeluh dan berusaha menjatuhkan orang atas demi dirinya. Maka, bagaimanakah meletakkan perbezaan antara ciri-ciri mengejar dunia dan mengejar akhirat?
Perbezaannya letak pada kefahaman dan niat dalam melaksanakan apa jua perkara. Selagi kita masih lagi terbelenggu dengan orientasi keduniaan, selagi itulah kita akan sentiasa berjalan ke arahnya, tak puas dengannya dan berpaling daripada akhirat. Namun, jika mentaliti dan orientasi pemikiran kita adalah akhirat dan demi mencari Redha Allah, nescaya kita takkan terlalu gembira dengan apa yang diperoleh dan tidak terlalu bersedih dengan apa yang hilang daripada kita. Kita redha dan yakin dengan ketentuan Allah. Kita tidak berlebih-lebihan dalam urusan keduniaan dan sama sekali tidak mengabaikan urusan akhirat.
Bila yang dikejar itu dunia, kita akan sentiasa mengeluh kerana kita takkan berjumpa kepuasan hakiki.
Bila yang dikejar itu dunia, kita rugi serugi-ruginya…

0 comments:

Post a Comment